Maafkan Aku Ibu

Ibu...
Walaupun ibu mendidikku dengan kasar, aku tetap menyayangimu ibu. Ibu mendidikku sedemikian rupa kerana ibu takut. Takut anak-anak ibu ini tidak ada masa depan. Hati ibu ketika itu hancur dan punah. Memang ketika itu aku masih lagi kecil dan tidak faham apa-apa. Tapi aku sering melihat ibu menangis. Seperti orang yang hilang haluan.

Ibu...
Didikan ibu memberi aku kesan. Kesan untuk menjadi orang yang berguna pada masa depan. Begitu juga dengan didikan ayah padaku. Memang kalau aku salah, ayah pasti akan memukul aku dengan penyangkut pakaian. Pedih dan sakit rasanya yang aku terima sebab ketika itu aku masih lagi kecil.

Ibu...
Ketika aku salah dalam berkata-kata, pergaulan dan perlakuan, ibu dan ayah tidak pernah penat untuk menegurku dan memberikanku nasihat. Masih segar lagi diingatanku yang aku pernah berbohong dan berkasar kata kepada ibu dan ayah, aku teruk dimarahi. Ibu dan ayah seperti tidak mahu memaafkan aku ketika itu. Aku tahu aku salah. Fikiranku belum matang ketika itu. Maafkan aku. Aku berdosa terhadap kedua orang tua aku.

Ibu...
Aku pernah mengecewakanmu dengan keputusan peperiksaan aku. Bukan seperti yang ibu dan ayah harapkan. Memang aku tergolong dalam kalangan pelajar pintar, tapi aku ini seorang yang malas. Aku tidak dapat masuk ke dalam asrama penuh. Maafkan aku ibu.

Ibu...
Azam aku ketika ini ingin membalas balik jasa ibu dan ayah. Aku akan berusaha dalam pelajaran untuk menjadi orang yang betul-betul berguna. Dalam fikiran aku, aku hanya ingin menolong ibu dan ayah pada masa depan. Oleh itu, untuk kali ini aku tidak ingin lagi melihat ibu dan ayah kecewa.

MAAFKAN AKU IBU KERANA SERING MELUKAKAN HATIMU


0 comments:

Post a Comment