Lawak : Gempa Bumi


Di satu kaki lima di sebuah kota, terdengar suara seorang penjual ubat sedang mempromosikan ubat jualannya.

Penjual ubat : Mari! Mari! Adik, abang, kakak, pakcik dan makcik!  Saya ingin memberitahu  
                     anda sesuatu. Sebentar lagi bandar ini akan dilanda gempa. Sekiranya anda 
                     semua mahu selamat, cubalah ubat saya ini.  Nescaya anda tidak akan 
                     merasakan gempa bumi itu walau sedikit pun. Saya telah menjual ubat ini di 
                     merata pelosok dunia dan setakat ini tiada yang merungut tentang 
                     kesahihannya. Cubalah! Bandar ini akan dilanda gempa pada tepat jam 11.30 
                     pagi nanti!!

Orang ramai yang lalu lalang di situ terpinga-pinga mendengarnya. Oleh kerana ada yang percaya apa sahaja boleh berlaku dalam dunia pada hari ini, mereka pun tanpa was-was, berduyun-duyun membeli  ubat anti-gempa tersebut.

Jam sudah hampir 11.30 pagi. Semakin ramai yang berkerumun membeli ubat tersebut. Dalam ramai-ramai tu, adalah seorang pakcik yang tergesa-gesa membelinya kerana waktu gempa semakin hampir. Pakcik tu dan mereka yang lain pun terus memakan ubat tersebut untuk mengelak dari merasakan gempa bumi yang bakal berlaku.

Jam sudah menunjukkan pukul 1130 pagi. Satu minit berlalu.. dua minit.. tiga minit.. hingga minit yang kesepuluh, pakcik tadi pun berteriak kepada penjual ubat tersebut.

Pakcik : Eh! Dah lama ni.. Mana gempanya? Awak tipu kami ye?

Penjual Ubat : Hah! Kan betul apa yang saya kata! Pakcik tak merasakan apa-apa gempa 
                     pun kerana memakan ubat saya! Itu menandakan ubat saya sangat mujarab!

***************************************************************

Comments

Popular posts from this blog

Ambil Lesen Motosikal

Bila Nikmat Ditarik Balik

HIDUP BERANI UNTUK GAGAL